Budaya Masyarakat Melayu




1.0  Pendahuluan

            Budaya yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adalah amalan hidup yang meliputi perkembangan sahsiah, budi, akal, daya, semangat, usaha, nilai serta tindakan daripada aspek lahiriah dan juga batiniah. Amalan ini telah meresap masuk ke dalam kehidupan masyarakat Melayu dan telah menjadi tatacara kehidupan seharian. Dari situ, budaya ini telah menjadi identiti bangsa Melayu yang tersendiri.



2.0  Konsep Budaya Melayu

            Menurut Nik Safiah Haji Abdul Karim (1963), perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu, iaitu 'budhi' dan 'daya’. Perkataan 'budhi' yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit bererti kecergasan fikiran dan akal. Perkataan 'daya' pula ialah perkataan melayu Polinesia yang bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Jika dicantumkan kedua-dua perkataan tersebut, budaya membawa maksud tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa.

            Istilah budaya dalam bahasa Inggeris ialah ‘culture’ yang berasal daripada perkataan bahasa Latin yang berbunyi ‘colere’. Ia bermaksud kehidupan manusia yang sentiasa memelihara dan mengerjakan pelbagai tindakan yang boleh menghasilkan tindakan budaya (Suwardi Endraswara, 2006:4).  Menurut John.J.Macionis (1987: 62) pula, budaya dilihat sebagai kepercayaan, nilai-nilai, tingkah laku dan objek kebendaan yang dikongsi bersama oleh sekumpulan penduduk yang tertentu. Sesungguhnya, “budaya” dapat diringkaskan sebagai satu amalan hidup yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat yang diwarisi oleh nenek moyang sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Orang Melayu kaya dengan budaya bangsa yang mulia dan agung.



3.0  Konsep Masyarakat Melayu

            Masyarakat adalah suatu kelompok manusia yang hidup dan bekerjasama sehingga mereka dapat mengorientasikan dirinya dan berfikir mengenai dirinya sebagai kesatuan sosial yang mempunyai batas-batas tertentu (Koentjaraningrat 1970).  Sebagai makhluk sosial, manusia tidak dapat hidup bersendirian kerana hidup bermasyarakat merupakan fitrah semula jadi manusia. Oleh itu, manusia perlu berinteraksi dengan anggota-anggota masyarakat yang lain di sekelilingnya. (Mustafa Haji Daud, 1990:11)

Masyarakat Melayu bermaksud sekelompok orang Melayu yang membentuk sebuah sistem interaksi sosial. Maknanya wujud amalan berkerjasama dan hidup bersama dalam kalangan orang Melayu menyebabkan timbulnya sesebuah masyarakat yang hidup bersama dan mengamalkan budaya hidup yang sama dalam kehidupan seharian.

4.0 Bidang Kebudayaan Melayu

            Menurut Taib Osman (1988) kebudayaan adalah cara hidup, Cara mengatur hidup satu-satu kelompok manusia. Lebih penting daripada perbuatan hari-hari (seperti cara makan, cara beribadah, cara menegur seseorang dan ciri-ciri lain), iaitu tanggapan alam sekitar atau world-view, dan nilai-nilai sosial atau etos kerana kedua-dua ciri inilah yang mewarnakan sesuatu budaya dan menjadi pendorong bagi tindakan manusia.

            Masyarakat Melayu sangat menekankan amalan yang mulia dalam kehidupan terutamnya pada bidang politik, ekonomi dan sosial.

4.1 Kebudayaan Melayu Dari Sudut Politik

            Menurut Almond dan Verba (1990:178), budaya dari sudut politik merupakan sikap orientasi yang khas dari warga Negara terhadap sistem politik.

            Di Malaysia, budaya dari aspek politik dapat dilihat dari aspek pemerintahan dan pentadbiran negara. Kita dapat lihat kepelbagaian politik di negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum. Pluralisme masyarakat di Malaysia menjadikan negara ini mempunyai banyak parti politik yang dipimpin mengikut kepelbagai kaum.  Walaupun begitu, hal ini masih dapat dikawal kerana masyarakat Malaysia mempunyai semangat patriotisme, hormat menghormati, dan menghargai antara satu sama lain.  Namun begitu, Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan dan pentadbiran demokrasi kerana pengaruh penjajah sebelum ini.

4.2 Kebudayaan Melayu Dari Sudut Sosial.

            Bangsa Melayu sangat mementingkan agama dan kepercayaan. Semua orang Melayu beragama Islam. Walaupun begitu, masih terdapat unsur agama Hindu dapat dilihat dalam sistem kepercayaan bangsa Melayu. Hal ini kerana Islam masih tidak dapat menghapuskan seluruh unsur kepercayan tersebut. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat awal adalah animisme. Dalam kepercayaan ini mereka menggangap benda-benda di sekeliling mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau pemyembahan terhadap batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai dan fenomena alam yang lain. Kuasa ghaib itu ditafsirkan sebagai hantu, jembelang atau jin yang menjadi penunggu objek tersebut (Haron Daud, 1989: 26).

            Seterusnya, masyarakat Melayu mempunyai adat istiadat tersendiri. Menurut Norazit Selat (1993), adat merupakan satu bentuk tingkah laku dan cara manusia berfikir. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain (1985) pula menjelaskan bahawa adat sebenarnya adalah sebahagian daripada kebudayaan Melayu. Terdapat banyak campuran unsur tempatan dan pengaruh luar seperti pengaruh Hindu, Islam Dan Barat dalam adat istiadat Melayu sekarang. Unsur-unsur adat yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam adalah dibenarkan dalam Malaysia dengan melalui “principle of co-existence”.

            Selain itu, masyarakat Melayu mempunyai budaya kesenian yang indah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), seni didefinisikan sebagai karya sajak, lukisan, muzik, dan sebagainya yang dicipta dengan bakat, hasil daripada sesuatu ciptaan. Manakala kesenian bermaksud perihal seni, yang berkaitan dengan seni, keindahan dan kehalusan.

            Antara kesenian Melayu  ialah seni persembahan seperti tarian, nyanyian, persembahan pentas seperti makyong, wayang kulit, ghazal, hadrah, dan kuda kepang serta seni tampak seperti seni ukir, seni bina, seni hias, pertukangan tangan, tenunan, anyaman dan sebagainya. Permainan tradisional seperti gasing, wau, congkak, juga termasuk dalam kategori seni persembahan. Kesenian Melayu yang wujud menyebabkan masyarakat Melayu mempunyai identiti tersendiri.



4.3 Kebudayaan Melayu Dari Sudut Ekonomi.

            Ekonomi merupakan satu bidang ilmu sains sosial yang mengkaji tentang cara manusia menggunakan sumber ekonomi yang terhad iaitu tanah, buruh, modal dan usahawan bagi memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad.

            Dalam Malaysia, terdapat dua sistem ekonomi yang wujud di Malaysia iaitu sistem ekonomi kapitalis dan sistem ekonomi Islam. Sistem ekonomi Islam mula diperkenalkan secara menyeluruh pada tahun 1983 dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Sekarang, sistem ekonomi yang berteraskan Islam mula mendapat perhatian masyarakat, produk-produk kewangan seperti takaful, al-Wadiah, Mudharabah dan ar-Rahnu telah diperkenalkan.

            Budaya Melayu dari sudut ekonomi dapat dilihat daripada aktiviti yang dijalankan oleh masyarakat Melayu di Negara ini. Orang Melayu yang tinggal di desa kebanyakan akan menjalankan aktiviti pertanian seperti tananam padi, kelapa, kelapa sawit dan tanaman campuran serta menangkap ikan. Bagi orang Melayu yang tinggal di bandar pula kebanyakan bekerja dalam sektor perindustrian, perdagangan, pengangkutan dan sebagainya.

            Tegasnya, penguasaan ekonomi oleh masyarakat Melayu secara keseluruhannya masih kurang berbanding dengan penguasaan ekonomi oleh masyarakat bukan Melayu. Walaupun begitu, juga terdapat ramai orang Melayu telah berjaya dalam bidang perniagaan dan menjadi ahli korporat.



5.0  Kesimpulan

            Memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat Melayu mempunyai budaya yang amat berharga. Budaya ini perlulah diamalkan oleh generasi muda agar budaya ini dapat diwarisi secara berterusan kepada generasi yang akan datang dan terus berkembang dengan tidak terhentinya.  



























RUJUKAN

Gabriel A. Almond dan Sidney Verba. (1990). Budaya Pollitik, Tingkah Laku Politik Dan               Demokrasi Di Lima Negara. Jakarta: Bumi Aksara.

Haron Daud, (1989) Sejarah Melayu Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan   Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

John. J .Macionis (1987: 62). “Sociology”. New Jersey: Prentice Hall.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Koentjaraningrat (1970). Manusia Dan Kebudayaan Di Indonesia. Anem Kosong Anem:               Dambatan.

Mustafa Haji Daud, (1990). Pengantar Masyarakat Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa             Dan Pustaka.

Nik Safiah Haji Abdul Karim (1963). Kajian Kebudayaan Melayu. Kota Bahru: Pustaka      Dian.

Norazit Selat. (1993). Asas-asas antropologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain. (1985). Konsep Melayu: Adat, budaya dan bahasa. Petaling Jaya: Agensi Penerbitan Nusantara.

Suwardi Endraswara (2006:4). Metode. Teori, Teknik Penelitian Kebudayaan: Ideologi,     Epistemologi, dan Aplikasi, Yogykarta: Pustaka Widyatama.

      Taib Osman (1988). Kebudayaan Melayu Dalam Beberapa Persoalan. Kuala Lumpur:                        Dewan bahasa dan Pustaka.


Comments

  1. Why Do Make Money From Online Gambling? - WorkTOMAKAY
    In a world where online gambling has never been so popular as a way of making money online, it is not หาเงินออนไลน์ only to create a gambling account, and 바카라 to 1xbet korean become

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,boleh share lebih banyak tentang konsep 'masyarakat melayu' mengikut pandangan sarjana@tokoh

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pengaruh Islam Dalam Karya Kesusasteraan