Pengaruh Islam Dalam Karya Kesusasteraan




1.0  Pengaruh Islam Dalam Karya Kesusasteraan Melayu

            Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), “kesusasteraan” bermaksud hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Kesusasteraan Melayu telah diperkayakan setelah kedatangan Islam ke Alam Melayu. Kedatangan Islam telah menambahkan lagi Sastera Islam di samping sastera Melayu yang sedia ada. Walau bagaimanapun, prinsip akidah Islam dimana menjauhi perkara syirik dan mungkar menyebabkan pengubahsuaian di dalam sastera yang bercanggah dengan akidah Islam (Mohd. Taib Osman & Aziz Deraman, 2000). Asas budaya Melayu bukan sahaja dilihat dari segi sastera sahaja tetapi juga penggunaan bahasa di Kepulauan Melayu yang menjadi alat komunikasi masyarakat dalam perdagangan, kebudayan dan agama.

            Kemunculan kesusateraan Melayu Islam telah melalui proses evolusi yang amat lama daripada kedatangan pengaruh India pada abad pertama Masihi ke penubuhan kerajaan Srivijaya sebagai pusat difusi budaya bagi agama Buddha dan kemunculan kerajaan Islam seperti Samudera-Pasai pada abad ke-13 telah meletakkan kedudukan kukuh bagi agama Islam (Ismail & Aziz & Rahman, 1995).

            Perluasan pengaruh Islam di sekitar Nusantara telah dirancakkan lagi dengan kuwujudan kerajaan-kerajaan Islam di Alam Melayu. Dari situ, wujudlah jenis-jenis sastera yang baharu yang selari dengan ajaran Islam. Kebanyakan karya sastera yang dipengaruhi dengan Islam adalah bertujuan untuk menyampaikan dakwah, ilmu tauhid, rukun Islam, rukun iman dan sifat dua puluh wujud dengan kuantiti yang banyak.

            Inisiatif ini dilakukan oleh para pendakwah bagi menyampaikan ajaran Islam pada masa yang sama memperkenalakan bentuk sastera baharu bagi mengambil alih sastera berunsur Hindu (Mahani 1995). Dari situ bermulalah berkembangnya karya kesusasteraan Melayu yang berunsurkan agama Islam.

            Kemasukan unsur-unsur pengaruh daripada luar seperti Hinduisme, Buddhisme dan Islam tidak akan melenyapkan budaya-budaya asal tempatan di Alam Melayu sebaliknya telah menguatkan dan memperkayakan budaya-budaya tempatan terutamanya dari segi kususasteraan Melayu kerana pengaruh-pengaruh tersebut diterima oleh masyarakat di kawasan Alam Melayu.

            Maka kita dapat lihat bahawa berlakunya proses sinkretisme yang dilakukan oleh golongan intelektual tempatan yang digelar local genius bagi mempertahankan warisan dan menerapkan unsur baharu di dalam kalangan masyarakat (Ampuan Brahim 1999).  Proses sinkretisme ini telah memberi kesan dan kesan tersebut dapat dilihat di dalam beberapa aspek kebudayaan masyarakat di Alam Melayu dan diantaranya adalah dari segi kesusateraan bahasa Melayu.

2.0  Penganalisisan Terhadap Puisi Tradisional Yang Dipengaruhi Oleh Islam

            Sesungguhnya, sangat banyak karya-karya bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam setelah kadatangan Islam ke Alam Melayu. Kebanyakkan pengaruh Islam dalam karya tersebut dapat ditunjukkan dengan terdapat unsur keagamaan, unsur amalan Islam yang dimasukkan ke dalam karya sastera. Namun begitu, pengaruh-pengaruh ini diterima oleh masyarakat Alam Melayu kerana mencerminkan pengajaran yang tinggi nilai moralnya serta dapat menjadi sebagai alat untuk menjalankan dakwah Islam terhadap masyarakat tempatan. Dari situ, semakin banyaklah pengaruh Islam terhadap karya-karya tempatan.

2.1 Hanya Untuknya

            Antara karya puisi tradisional yang di pengaruhi oleh Islam ialah “Hanya Untuknya” (Rujuk Lampiran 1). Dalam puisi tersebut telah meletakkan “Allah” sebagai Tuhan pencipta alam. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat penggunaan perkataan dan istilah “Allah”, “-Nya” dan “Al-Quran” dalam karya tersebut. Karya ini telah menceritakan sifat-sifat yang terdapat pada orang yang beriman serta orang yang berpegang teguh kepada prinsip agama. Orang yang beriman akan sentiasa mendahulukan agama dan Tuhan kerana mereka menyedari bahawa insan merupakan sebagai satu daripada makhluk ciptaan Tuhan yang mulia. Tambahan pula, orang yang beriman kepada Tuhan akan sentiasa berusaha membuat dan mengumpul pahala agar diterima oleh Tuhan di dunia akhirat nanti. Sesungguhnya, mereka mempercayai bahawa segala rezeki dan nasib manusia di dunia ini adalah anugerah dan ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Puisi ini bertujuan untuk menyeru umat Islam agar patuh kepada ajaran Tuhan dan jangan sesekali mengingkari ajaranNya dan menjunjung Islam sebagai satu agama yang agung dan berwibawa. Nilai-nilai yang terkandung dalam puisi tradisional ini ialah kita sebagai hamba Tuhan perlu mempunyai nilai moral kepercayaan kepada tuhan iaitu manusia perlulah mempercayai bahawa wujudnya Tuhan sebgai pencipta alam dan patuh terhadap ajaran Tuhan.

2.2 Gurindam Menatap Ramadan

            Selain itu, “Gurindam Menatap Ramadan” (Rujuk Lampiran 2) juga dipengaruhi oleh unsur Islam. Gurindam tersebut menjelaskan amalan-amalan yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam semasa bulan Ramadan sebagai usaha untuk membuat pahala dan malaksanakan ajaran agama Islam.  Amalan-amalan dan ajaran agama sebegini dimasukkan dan diterjermakan ke dalam bentuk gurindam sebenarnya bertujuan untuk menggingatkan umat-umat Islam supaya berpuasa dan mengamalkan ajaran agama dengan sempurna dalam bulan yang mulia ini seperti jangan sesekali meninggalkan solat dan sebagainya.  Berdasarkan gurindam, jika seseorang berbuat baik semasa bulan Ramadan, orang tersebut akan mendapat seribu rahmat daripada bulan biasa serta menyatakan bahawa amalan berpuasa merupakan satu cabaran terhadap manusia untuk menjadi tabah dan lapang jiwa dan bukan sekadar berlapar perut dan berletihan sahaja. Seterusnya, zakat perlu disumbangkan bagi membantu golongan yang kurang berada oleh masyarakat Islam yang berkemampuan. Pada bulan Ramadan, umat Islam digalakkan meluangkan masa untuk mengikuti Tadarus Al-Quran agar mendapat lebih ilmu agama dan amalan sedekah amatlah digalakkan semasa bulan Ramadan. Nilai-nilai yang telah ditunjukkan dalam gurindam ini ialah bertanggungjawab. Umat Islam perlulah melaksanakan tanggungjawab dan kewajiban mereka sebagai umat Islam bukan sahaja pada bulan Ramadan malah pada hari biasa juga. Tambahan pula, terdapat nilai pemurah, kita mestilah sentiasa bersedekah dan membantu orang yang kurang berkemampuan.

2.3 Nazam Alif Ba Ta

            Di samping itu, “Nazam Alif Ba Ta” (Rujuk Lampiran 3) dapat kita memperhatikan bahawa nazam tersebut adalah begitu sarat dengan tema keagamaan kerana dalamnya terdapat pujian-pujian terhadap Allah SWT dan selawat terhadap Nabi SAW. Terdapat juga perkataan Arab yang digunakan dalam nazam tersebut. Nazam ini telah menceritakan keagungan Allah SWT sebagai pencipta alam dunia. Pengajaran dan nilai yang utama yang ingin disampaikan dalam dalam nazam ini adalah untuk menyeru manusia agar sentiasa menuntut ilmu agar dapat menjadi orang yang berpengetahuan luas. Pengajaran ini selari dengan wahyu pertama yang diturun kepada Nabi SAW oleh Allah SWT yang menyeru penganut untuk membaca kerana membaca akan membawa ilmu kepada seseorang. Orang yang berilmu dapat mempunyai kefahaman yang lebih luas dalam kehidupannya dan akan tidak terpengaruhi oleh unsur-unsur jahiliah seperti masyarakat arab pada zaman sebelum kedatangan Islam. Nilai yang akan didapati oleh pembaca ialah nilai mengenang budi, kita perlulah mempercayai bahawa manusia merupakan makhluk ciptaan Tuhan dan Tuhan yang membawa kita ke dunia ini. Sehubungan dengan itu, kita hendaklah sentiasa taat kepada Tuhan. Di samping itu, nilai kerajinan juga terdapat dalam nazam ini, manusia hendaklah sentiasa membaca bagi memperkembangkan ilmu dan menjadi lebih berdaya saing.

3.0 Kesimpulan

            Sebagai kesimpulan, berdasarkan analisis terhadap ketiga-tiga karya yang telah dibuat, sudah jelas menunjukkan pengaruh Islam dalam karya kesusasteraan Melayu telah banyak memberi pengaruh dari segi gaya bahasa, kosa kata, pengajaran serta nilai-nilai yang mulia. Karya-karya sebegini seharusnya terus diperjuangkan oleh generasi muda pada zaman ini agar khazanah kesusasteraan ini dapat dikekalkan selama-lamanya dan terus berkembang pada masa akan datang. Hal ini dikatakan demikian kerana pengaruh unsur agama Islam tidak membawa kesan negatif terhadap karya kesusasteraan masyarakat Melayu malah telah memajukannya dari pelbagai aspek. Oleh hal yang demikian, karya kesusasteraan tersebut seharusnya dihayati oleh masyarakat Melayu moden pada masa kini dan bukannya membiarkan karya kesusasteraan tersebut ditelan zaman.

















RUJUKAN

Ampuan Brahim bin Ampuan Tengah (1999). Syair Rejang: Penyelanggaraan dan analisis           teks, Tesis Dr. Fal., Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM.

Ismail Hussein, A. Aziz Deraman, Abd. Rahman Al-Ahmadi (1995), Tamadun Melayu Jilid            Empat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mahani Bt Abd. Rahman, (1995), Wira Dalam Hikayat Kepahlawanan Islam, Latihan         Ilmiah Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian, Fakulti Sains         Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaa Malaysia.

Mohd. Taib Osman, A. Aziz Deraman (2000). Tamadun Islam di Malaysia. Kuala Lumpur:            Dewan Bahasa Dan Pustaka.





























LAMPIRAN 1

HANYA UNTUKNYA

Seorang insan yang hatinya

hanya kepada Allah

sangat menginginkan

tiadanya kepentingan peribadi

atau untuk duniawi

Dirinya menginginkan

tunduk khusyuk hanya kepada-Nya

dipenuhi masa bertakwa sentiasa

merasa betapa ruginya

membuang masa sia-sia

ingin sentiasa menambah pahala

Andaikan lebih dihajatinya

dirinya bagai malaikat

tanpa keperluan peribadi

segalanya darinya hanyalah

untuk pengabdian kepada Allah

Allah-lah segala-galanya...

yang menyiram air ketenangan

yang menyinar cahaya keteduhan

di ruang hati yang berseri

bersinar cahaya kebahagiaan...

abadi sentiasa...

Itulah pencinta Allah

Islam junjungannya...

Rasulullah ikutannya...

Al-Quran amalannya..

LAMPIRAN 2

GURINDAM MENATAP RAMADAN

Bulan Ramadan bulan berkat

Allah mengurniai sejuta rahmat.

Puasa menjana ketahanan insan

agar tabah hadapi dugaan

Falsafah puasa perlu dicerna

Bukan sekadar berlapar dahaga.

Zakat fitrah lunaskan segera

agar si miskin membutir ceria.

Tadarus Quran jadikan amalan

memberi petunjuk penunjuk jalan.

Aktiviti harian seperti biasa

jangan diri diulit lena.

Lailatul Qadar inspirasi insan

gandakan ibadat penuh keikhlasan.

Usah hanyut di pesta juadah

elak pembaziran hindari musibah.

Sedekah derma amalan mulia

menyuci diri meminggir dosa.

Solat tarawih menambah pahala

agar umat membina takwa.

Keberkatan Ramadan dihayati bersama

keagungan Islam ditatang dijelmakan.







LAMPIRAN 3

NAZAM ALIF BA TA

Allah menjadikan sekalian alam

Langit dan bumi, laut yang dalam



Baru hukum akal

Qidam dan Baqa sedialah kekal



Tak dapat lagi hendak disangkal

Jika hendak faham kajilah akal



Tajamlah akal menuntut ilmu

Supaya jangan kita tersemu



Rajinkan belajar jangan jemu

Pada yang lain jangan diramu



Sabil tak billah liku bahri

Ilmu pengetahuan wajib dicari

Comments

Popular posts from this blog

Budaya Masyarakat Melayu